Kelebihan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran
Pengenalan :
Perkembangan dunia Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (ICT) telah memberikan banyak impak positif kepada pelbagai bidang
perindustrian termasuklah dunia pendidikan. Tindakan Kementerian Pendidikan
Malaysia yang menjadikan penggunaan pelbagai bahan bantu mengajar seperti
komputer riba, cakera padat, penggunaan pelbagai perisian pendidikan
pembelajaran dan pelbagai alat bantu mengajar yang lain. Oleh yang demikian,
adalah perlu untuk setiap pendidik menggunakan pelbagai alat bantu mengajar sama
ada yang berbentuk peralatan mahupun perisian bagi membantu merangsang dan
meningkatkan minat dan kecenderungan Murid terhadap sesuatu topik pembelajaran.
Pengajaran dan pembelajaran adalah fokus utama pihak pengurusan pendidikan
kebangsaan sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun di peringkat sekolah
menengah. Justeru, pihak pengurusan pendidikan baik di peringkat negeri mahupun
di peringkat kebangsaan sentiasa mencari alternatif atau kaedah pengajaran dan
pembelajaran terbaik dalam usaha untuk meningkatkan keupayaan sesuatu proses
pengajaran dan pembelajaran (Baharuddin, 2005). Latihan aplikasi dan integrasi
teknologi maklumat dan komunikasi atau juga dikenali dengan gelaran ICT adalah
antara usaha yang telah diperkenalkan di kebanyakan sekolah rendah dan
menengah.
Pelaksanaan ICT dalam proses pengajaran dan
pembelajaran terhadap Murid yang mengikuti Program Pemulihan Khas merupakan satu
perkara yang tidak hanya mampu memberikan rangsangan pembelajaran kepada murid,
malah dapat meningkatkan pencapaian akademik mereka (Abd. Rahman, 1992). Koh Boh
Boon (1982) menyatakan bahawa pendidikan pemulihan sekiranya diteliti dengan
lebih mendalam, sifatnya adalah lebih terbatas dan lebih khusus kerana ianya
bertujuan untuk membaiki kelemahan pembelajaran murid. Pelaksanaan program ini
melibatkan murid-murid lambat iaitu mereka yang lembap atau lambat mencapai
matlamat pembelajaran jika dibandingkan dengan murid-murid lain yang sebaya
dengan mereka. Oleh yang demikian, selaras dengan perkembangan dan kemajuan
teknologi semasa, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) digunakan untuk
membantu murid-murid ini dalam usaha untuk meningkatkan pencapaian akademik dan
memajukan diri seperti mana yang dicapai oleh Murid-Murid lain khususnya yang
sebaya dengan mereka.
ANTARA KELEBIHAN-KELEBIHANNYA :
- Terdapat banyak kelebihan menerusi pengajaran berasaskan komputer. Antaranya adalah dapat meningkatkan kefahaman dan penguasaan murid terhadap pelajaran.
- Mengikut penyelidikan yang telah dlakukan oleh pakar-pakar alat pandang dengar, konsep kefahaman dan pengetahuan yang diperolehi oleh manusia adalah 75% melalui deria pandang, 13% daripada deria dengar, 6% daripada deria sentuh, 3% daripada deria rasa dan 3% daripada deria bau. (Mok Soon Sang, Lee Shok Mee,1986).
- Berdasarkan kajian ini, jelas menunjukkan bahawa pancaindera pandang dan dengar penting dalam proses pembelajaran. Bahan bantu mengajar berasakan komputer semestinya banyak memerlukan pancaindera pandang dan dengar.
- Hal ini sangat relevan dalam meningkatkan kefahaman dan penguasaan murid terhadap pelajaran.
- Kelebihan yang seterusnya adalah guru dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa, menyeronokkan dan mencabar.
- Hal ini selaras dengan teknologi yang pendidikan bertujuan untuk mewujudkan suatu suasana yang kondusif bagi pengajaran dan pembelajaran.
- Wayne F. Virag (1976) berpendapat “seseorang individu dalam suasana pembelajaran adalah tertakluk kepada pelbagai bahan pengajaran, teknik-teknik dan peringkat-peringkat penyampaian pengajaran…suasana pembelajaran ini pula dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti kaedah penyampaian dan bahan pengajaran yang digunakan dalam suasana fizikal yang direka untuk pembelajaran.”
- Penggunaan teknologi juga boleh memberi pengalaman sebenar yang dapat merangsang aktiviti sendiri dalam kalangan pelajar dan membina pemikiran yang berterusan.
- Hal ini dapat dilahirkan menerusi aktiviti yang mencabar dalam pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer.
- Oleh yang demikian, jelas menunjukkan bahawa suasana pembelajaran yang selesa, menyeronokkan dan mencabar dapat diwujudkan menerusi pengajaran yang menggunakan komputer serta perisiannya sebagai alat pengajaran.
- Seterusnya pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer dapat meningkatkan motivasi dan minat murid dalam pembelajaran.
- Hal ini selaras dengan pendapat Jonassen (1996) yang menyatakan, para pelajar yang mendapat bahan pengajaran melalui komputer mempunyai motivasi yang tinggi untuk belajar.
- Apatah lagi jika pendekatan yang digunakan berbentuk permainan pendidikan.
- Hal ini menunjukkan menerusi pendekatan permainan pendidikan, murid akan lebih tertarik dan semakin bersemangat untuk mengikuti sesebuah pembelajaran.
- Pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer juga bertujuan untuk memudahkan kerja seseorang guru dalam penyampaian maklumat pelajaran.
- Penggunaan bahan teknologi pendidikan yang boleh dilihat dan menghasilkan bunyi dan suara telah didapati memberikan banyak faedah seperti melicinkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran, menjimatkan masa dan tenaga, mengelakkan kebosanan pelajar dan mengelakkan berlakunya salah tafsir atau tidak faham.
- Penggunaannya juga akan memberikan kelainan (variasi) kepada kaedah mengajar, misalnya dengan menggabungkan kaedah dan alat (penggunaan perisian pembelajaran), membolehkan pelajar mengulangi pelajaran secara sendirian dan juga membantu pelajar-pelajar mendapat kesan pembelajaran yang maksimum dengan penggunaan masa yang minimum.
- Tuntasnya, pengajaran berasaskan komputer mempunyai kekuatan dalam aspek-aspek yang tertentu. Tambahan lagi, adalah sangat wajar guru mengintegrasikan pelajaran menerusi teknologi maklumat.
KESIMPULAN :
Adalah
menjadi tanggunjawab institusi pendidikan untuk mendidik masyarakat
untuk menjadi pelapis yang benar-benar dapat mentadbir negara dengan
baik pada masa akan datang. Oleh yang demikian, pendidikan ini perlu
dilaksanakan pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak. Penggunaan
komputer dan teknologi maklumat dalam sistem pengajaran dan pembelajaran
adalah suatu yang perlu bagi menarik minat kanak-kanak ini untuk terus
menuntut ilmu tanpa mengira sempadan dan segala halangan yang boleh
menghalang mereka dariapda menuntut ilmu.
RUJUKAN :
- MULTIMEDIA DALAM PENDIDIKAN
- NADIA SABRINA
- UTUSAN PUBLICATIONS & DISTRIBUTOS SDN BHD